Daerah Kabong mempunyai lokasi yang strategik dan berpotensi mempunyai prospek menjadi sebuah pusat perdagangan yang berperanan sebagai pusat agihan kepada kawasan sekitarnya, kerana pekan ini terletak di Kuala Batang Krian dan boleh menjadi pelabuhan persinggahan utama.

Keluasan Daerah Kabong adalah 398.14 kilometer persegi.Jaraknya dari Saratok ialah 63 km sementara dari Sarikei 85 km. Kawasan ini boleh dihubungi melalui jalan darat. Pengangkutan utama penduduk persekitarannya adalah menggunakan bas, van persendirian atau kereta persendirian. Daerah Kabong pada keseluruhannya mempunyai rumah panjang (Iban) sebanyak 26 buah dan kampung melayu 27 buah. Jumlah penduduknya seramai 13,494 orang pada 2004, di mana 80% daripadanya adalah orang Melayu dan 17% pula orang Iban.(maklumat diperolehi Pejabat Daerah Kabong)

Penduduk di sini menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan ekonomi utama mereka selain menjadi nelayan serta berniaga secara kecil-kecilan. Hasil pertanian yang utama ialah kelapa di mana pekebun-pekebun kecil kelapa akan menjual kelapa (tua) dan kelapa kering (kopra) kepada pemborong untuk diproses di luar Kabong manakala kelapa muda dibekalkan kepada gerai-gerai di bandar Sarikei.

Hasil lautnya pula ialah penangkapan ikan yang akan dijual kepada pemborong atau dijual sendiri oleh para nelayan ke pekan-pekan lain. Selain itu, ia juga dijadikan ikan masin dan ikan salai. Manakala penangkapan obor-obor pula dilakukan secara bermusim (musim kemarau) dan ia merupakan mata pencarian yang paling lumayan. Semua bahagian obor-obor ini digunakan sepenuhnya iaitu kepala obor-obor diproses untuk pasaran tempatan manakala badannya diproses bagi pasaran luar negara.

Dari aspek pelancongan pula, Kabong mempunyai pantai yang panjang dan bersih sesuai untuk perkelahan, riadah, pesta dan rekreasi seperti Pantai Tanjung Kembang, Pantai Alit dan Pantai Gerigat menjadikan Kabong sesuai dan berpotensi besar dalam bidang pelancongan. Dan kini, daerah Kabong semakin maju dalam bidang pelancongan dimana di Pantai Tanjung Kembang telah dimajukan dengan kehadiran Tanjung Kembang Mini Water Park, Dewan Serbaguna Pantai Tanjung Kembang yang menjadi Pusat Penjaja utama di sini pada hujung minggu. Di samping itu dengan kerja-kerja menaiktaraf chalet yang terdapat di Pantai Tanjung Kembang. Selain itu, terdapat homestay yang dimajukan oleh pihak Tanjung Kembang Lodge yang menjadi tumpuan utama pengunjung untuk beristirehat di Pantai Tanjung Kembang Kabong. 

Aktiviti tahunan yang diadakan setiap tahun iaitu Pesta Layang-layang Antarabangsa Kabong yang melibatkan pelayang dari tempatan dan juga antarabangsa. Di antara aktiviti utama adalah pertandingan layang-layang kreatif, pameran layang-layang unik, pameran layang-layang LED dan aktiviti tambahan iaitu pertandingan tarik tali. Pesta ini kebiasaannya diadakan sekitar bulan Mac pada setiap tahun. 

Panorama sekitar kawasan Kampung Laut 

 

 

Pemandangan kampung Kabong dari atas